Tian Soon (tengah) dalam  Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 di Dewan Datuk Seri Joseph

JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM ) sedang melengkapkan kertas kerja pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) di Johor Bahru untuk diserahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata,  kertas kerja tersebut kemudian akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

Jelas beliau, ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk melaksanakan perbincangan lanjut bagi melaksanakan pembinaan HSA 2.

“Sebelum ini isu tanah, pengenalpastian lokasi dan kerja awalan bagi HSA 2 telah selesai dilaksanakan.

“Beberapa bengkel teknikal dan perbincangan keperluan hospital juga dilakukan agar tiada pertindihan berikutan Johor bakal menerima dua buah hospital baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 di Dewan Datuk Seri Joseph Chong di Kolej Universiti Selatan, Skudai, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak RM1 juta diserahkan kepada kolej berkenaan bagi membantu 500 pelajar bangsa Johor dalam kalangan B40.

Setiap pelajar akan menerima RM2,000 bagi meringankan beban mereka dan melahirkan modal insan yang berkualiti serta berdaya saing.

Sebelum ini Tian Soon dilaporkan berkata, pembinaan HSA 2 itu dijangka dapat mengatasi isu kesesakan dua hospital sedia ada iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya, kerajaan Johor meletakkan projek mega HSA 2 sebagai projek keutamaan negeri dan lokasi HSA 2 adalah di Kempas dengan lot tanah sudah dikenal pasti.

Malah katanya, KKM juga sudah membayar premium tanah seluas 207.5 hektar bagi pembinaan HSA 2. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast