PHNOM PEHN – Bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen mengeluarkan kata dua kepada Thailand supaya menarik balik sekatan lintas sempadan atau berdepan larangan import semua buah-buahan dan sayur-sayuran negara itu ke Kemboja, dalam perkembangan terbaharu pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.
Seorang askar Kemboja terbunuh pada 28 Mei selepas berbalas tembakan dengan tentera Thailand di kawasan pertikaian yang dikenali sebagai Segitiga Zamrud, tempat pertemuan sempadan Kemboja, Thailand dan Laos.
Tentera Thailand dan Kemboja masing-masing mendakwa bertindak mempertahankan diri.
Thailand telah mengetatkan kawalan sempadannya dengan Kemboja dalam beberapa hari kebelakangan ini, manakala Kemboja mengarahkan tenteranya dalam keadaan “siap siaga penuh” pada hari Jumaat, melarang siaran drama Thailand di TV dan pawagam, menutup salah satu pos sempadan popular, serta mengurangkan jalur lebar internet dari Thailand.
Dalam ucapan kepada rakyat, Hun Sen, bapa kepada Perdana Menteri semasa Hun Manet mengancam akan mengharamkan import semua buah-buahan dan sayur-sayuran dari Thailand sekiranya Bangkok tidak menarik balik sekatan lintas sempadan dalam masa 24 jam.
“Jika pihak Thailand tidak membuka sempadan seperti biasa hari ini, esok kita akan laksanakan larangan import buah-buahan dan sayur-sayuran ke Kemboja di seluruh sempadan,” kata Hun Sen.
Beliau berkata, Hun Manet telah memaklumkan perkara itu kepada rakan sejawatannya dari Thailand.
Pada hari Ahad, Kemboja secara rasmi meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk campur tangan dalam menyelesaikan pertikaian sempadan di empat kawasan — termasuk lokasi pertempuran bulan lepas dan tiga buah kuil purba.
Hun Sen berkata, Kemboja terpaksa membawa isu itu ke ICJ kerana negara itu mahukan “keamanan”, memandangkan kedua-dua negara tidak akan mencapai persetujuan secara dua hala dalam empat kawasan tersebut.
Kemboja telah beberapa kali menggesa Thailand untuk membawa kes itu bersama ke ICJ.
“Hanya pencuri yang takut pada mahkamah,” kata Hun Sen.
Beliau menegaskan Kemboja tidak akan berundur dan akan mematuhi keputusan ICJ.
Hun Sen turut menyeru puluhan ribu rakyat Kemboja yang bekerja di Thailand supaya pulang ke tanah air, dengan menyatakan bahawa mereka mungkin akan berdepan diskriminasi yang semakin meningkat selagi pertikaian sempadan berterusan.
“Kamu mesti pulang ke tanah air, dan sekarang adalah masa yang sesuai. Pertikaian sempadan ini tidak akan berakhir dengan mudah, jadi penghinaan pasti berlaku, dan kali ini lebih serius,” tambah beliau.
Pertikaian ini berpunca daripada penetapan sempadan sepanjang 800 kilometer antara kedua-dua negara yang dilakukan pada awal abad ke-20 semasa penjajahan Perancis di Indochina.
Kemboja sebelum ini pernah mendapatkan bantuan ICJ dalam pertikaian wilayah melibatkan sebuah kuil sempadan.
Pada tahun 1962, mahkamah memutuskan Kuil Preah Vihear yang dipertikaikan itu adalah milik Kemboja, dan pada tahun 2013, ICJ turut menyerahkan kawasan berhampiran kuil itu kepada Kemboja.
Namun, Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah tersebut.
Sejak tahun 2008, pertikaian ini telah menyebabkan 28 kematian di kawasan berkenaan. – Agensi
















