PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Mesjid, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut kejadian tersebut pukul 11.05 malam.
“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kampung Sentosa, Masai untuk balik ke rumahnya.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang terbabas dan melanggar tiang elektrik di bahu kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu sentiasa berhemah serta mematuhi peraturan,” ujar beliau.
Mohd Sohaimi meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan menerusi talian 07-3864222.- MalaysiaGazette
















