Alexander Lo Su Hyen

KUALA LUMPUR – Pelarasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bukan reformasi ekonomi jika golongan berpendapatan rendah paling terjejas, dan hanya golongan berada mampu menyerap tekanan daripada pelaksanaannya.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Alexander Lo Su Hyen berkata, sebaliknya ia adalah eksploitasi terselindung terhadap rakyat.

Jelasnya, rakyat merupakan golongan yang akan menanggung kesan setiap kali SST diperluaskan meskipun kerajaan mendakwa SST adalah sistem yang lebih telus dan tidak membebankan

Su Hyen yang memandang serius peningkatan tekanan kos sara hidup rakyat akibat peluasan SST oleh kerajaan pada 1 Julai ini mendakwa, pelarasan cukai tersebut yang kononnya bertujuan menambah hasil negara, ternyata lebih cenderung menjadi beban kepada rakyat terbanyak berbanding satu penyelesaian fiskal yang berkesan.

“Daripada makanan di restoran, barangan keperluan harian hinggalah perkhidmatan yang dahulunya bebas cukai semuanya kini dikenakan cukai.

“Akibatnya, harga barang melambung, kos sara hidup mencanak, dan rakyat semakin terdesak untuk bertahan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencengkam,” katanya.

Lebih membimbangkan, kata Su Hyen, hasil kutipan cukai ini tidak pula diperjelaskan ke mana arah tujunya.

Janji-janji untuk menaik taraf sistem pendidikan, membaiki fasiliti kesihatan awam, atau mengawal harga rumah masih tinggal janji kosong.

Sebaliknya, rakyat hanya menyaksikan pertambahan elaun menteri, kelulusan projek mewah, dan skandal kewangan yang tidak pernah dibawa ke muka pengadilan, ujarnya.

Tambah beliau, pengumuman terbaharu mengenai penubuhan Koperasi Kota Madani yang kononnya untuk membantu rakyat pula kelihatan seperti sekadar gimik politik.

Soalnya, bagaimana sebuah koperasi boleh berfungsi membantu rakyat jika pada masa sama subsidi dikurangkan, harga barang naik dan beban cukai bertambah.

Ini ibarat memberi payung koyak di tengah hujan lebat tidak membantu, malah mengelirukan.

“Kerajaan hari ini dilihat semakin hilang empati terhadap penderitaan rakyat. Gaji tidak naik, peluang kerja semakin mengecil, namun beban cukai terus ditambah. Sampai bila rakyat harus terus diperah?,” tanya beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan menghentikan segala bentuk dasar yang menekan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast