JOHOR BAHRU – Seorang pemilik rumah sewa di Taman Daya di sini kini menjadi sasaran dan ugutan ah long selepas penyewa sebelum ini tidak melunaskan hutang pinjaman.
Mangsa, Poon Owi Lee, 49, berkata, penyewa sebelum ini meminjam wang dengan ah long dan menggunakan alamat rumah miliknya yang disewa itu sebelum tiba-tiba berpindah.
Menurutnya, sudah tiga kali rumahnya menjadi mangsa simbahan cat merah sejak bekas penyewanya itu meninggalkan kediaman berkenaan tujuh tahun lalu.
Pemilik perniagaan salun itu mengakui tertekan memandangkan penyewa rumahnya sekarang membuat keputusan berpindah kerana takut diganggu along berkenaan.
“Tujuh tahun lalu, bekas penyewa rumah saya yang baru menyewa tidak sampai setahun itu tidak membayar sewa selama dua bulan sebelum tiba-tiba keluar dari rumah. Saya syak dia sudah tahu akan didatangi ah long.
“Tidak lama kemudian, rumah saya disimbah cat merah. Ketika saya meletakkan nombor telefon bimbit saya di hadapan rumah untuk mencari penyewa baharu, Ah long itu menghubungi saya.
“Saya sudah terangkan penama yang dicarinya iaitu ‘Thing Chee Siong’ sudah keluar rumah dan saya tidak tahu dia di mana,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor di sini, hari ini.
Menurut Owi Lee, kediamannya kemudian tidak lagi diganggu, bagaimanapun pada 9 Jun lalu, sekali lagi terdapat simbahan cat merah pada pagar, lantai dan dinding rumah.
Katanya, masalah itu berulang lagi pada 15 Jun lalu sehingga motosikal dan kereta jiran rumahnya turut terkena simbahan cat merah itu.
“Pada 15 Jun lalu, saya dimaklumkan oleh penyewa yang ada orang datang rumah saya di Taman Daya. Mereka simbah cat merah. Mereka letak nota ‘Thing Chee Siong last warning Whatsapp 01111600516′,” katanya.
Dia dimaklumkan bahawa bekas penyewanya berhutang kira-kira SGD2,000 (RM6,626.92).
Apa yang lebih dibimbangkan Owi Lee apabila pada 16 Jun lalu, rumahnya dipecah masuk sehingga menyebabkan penyewa dalam rumah itu kehilangan wang sebanyak SGD70 (RM231.94).
“Saya juga alami kerugian kerana terdapat kerosakan pada pintu, jeriji besi dan pintu belakang rumah kesan dipecah masuk,” jelasnya.
Selain membuat aduan kepada Biro Aduan Awam Bersatu Johor, Owi Lee menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas masalah dihadapinya itu.
Owi semakin runsing kerana mungkin akan sukar mendapatkan penyewa baharu bagi rumahnya itu dan juga takut untuk tinggal di situ.
“Saya harap pihak polis boleh bantu. Kalau begini, saya jadi semakin tertekan. Nak tinggal sendiri di situ pun saya takut, bimbang mereka ganggu ahli keluarga lain dan kalau nak cari penyewa baharu juga, rasanya mereka juga tak mahu menyewa sebab takut,” luahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat wanita berkenaan.- MalaysiaGazette
















