ISKANDAR PUTERI – Nyanyuk dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas menunggang motosikal secara melawan arus di Kilometer 24, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, bagaimanapun pihaknya sedang menunggu laporan perubatan hospital untuk mengesahkan sama ada lelaki berusia 80 tahun itu benar-benar nanyuk seperti didakwa.
“Kejadian itu berlaku pukul 10.30 pagi semalam dan warga emas itu berjaya dikesan dan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.
“Kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut menunggang motosikal sejauh 700 meter dari Kota Tinggi tanpa memakai topi keledar dan melawan arus di laluan lebuh raya.
Kumarasan berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya akan merujuk kes ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pejabat Pertanyaan BSPT Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.
Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang warga emas berkopiah putih melawan arus di lebuh raya itu.
Menerusi ruang komen dalam media sosial, polis berjaya menemukan warga emas tersebut dan anaknya juga telah membuat laporan.
Selain itu, turut disertakan laporan polis dibuat anak warga emas terbabit yang dipercayai tinggal di Bukit Aping Barat Kota Tinggi dan menghidap menghidap penyakit Alzheimer.
“Semoga diberi kesihatan yang baik buatnya. Kasihan, mesti pakcik tu penat jauh perjalanannya dari Kota Tinggi.
“Diharapkan selepas ini penjagaan rapi dapat diberikan kepada pakcik tersebut,” tulis pengguna media sosial.
Seorang lagi pengguna media sosial mengakui warga emas itu adalah dari kampung yang sama dengannya dan mendakwanya mengalami masalah pendengaran.- MalaysiaGazette
















