JOHOR BAHRU – Selaras Tahun Melawat Johor 2026 polis Johor mengaktifkan semula penugasan omnipresence di tujuh lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, penugasan itu diaktifkan semula bermula 14 Jun lalu dalam usaha memperkukuh persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan negeri ini.
“Fasa pertama ini dilancarkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat, KSL, Berjaya Waterfront, Southkey Mid Valley, Sentosa Pelangi dan Angsana Mall dan akan datang Tampoi, Johor Bahru Utara (JBU) dan tempat lain.
“Seramai 80 anggota terlibat dalam penugasan ‘omnipresence’,” katanya ditemui selepas Majlis Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Katanya, penugasan terbabit melibatkan 80 anggota sedia ada di lokasi tumpuan pelancong dan orang ramai pada waktu puncak.
“Ini membabitkan kehadiran anggota di kawasan tumpuan awam secara berjalan kaki, melawat premis serta berinteraksi dengan pengunjung dan peniaga untuk memberi satu situasi Johor selamat untuk pelawat, pelabur, peniaga dan didiami.
Menurut beliau, sejak dilancarkan semula, pihaknya mendapat sambutan dan reaksi positif masyarakat termasuk peniaga berhubung kehadiran polis di lokasi terbabit.
“Keutamaan diberi kepada waktu puncak seperti waktu bekerja, waktu rehat dan hujung minggu. Contohnya, BSI beroperasi 24 jam, Bazar Karat pula pada waktu petang hingga malam.
“Setakat ini, tiada laporan jenayah diterima di kawasan yang diliputi ‘omnipresence’ dan kita juga menerima maklum balas atau komen positif di sosial media mengenai operasi ini.
“Kita akan teruskan penugasan ini secara berterusan sepanjang tahun dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa,”katanya.
Selain itu katanya, penugasan rutin oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda MPV juga diteruskan seperti biasa.- MalaysiaGazette
















