JOHOR BAHRU – Perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada Julai ini yang memberi kesan terhadap harga buah-buahan import dibimbangi akan memburukkan lagi statistik lebih 70 peratus rakyat Malaysia yang kekurangan vitamin C ketika ini.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, isu itu bukan sekadar isu pemakanan tetapi menjadi krisis kesihatan awam yang bakal membebankan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
Tegasnya, buah-buahan yang biasa dibeli rakyat seperti epal dan oren wajar dikecualikan daripada dikenakan SST.
Realitinya kata beliau, epal dan oren antara buah yang paling mudah diperoleh golongan pertengahan termasuk anak muda yang berusaha mengamalkan gaya hidup sihat.
Justeru beliau menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mempertimbangkan semula keputusan itu.
“Jika fiskal negara memerlukan suntikan hasil, kenakanlah cukai terhadap buah-buahan premium seperti avocado atau ikan mewah seperti ikan salmon bukannya pada epal dan oren yang menjadi buah harian rakyat kebanyakan.
“Saya faham bahawa perlaksanaan SST ini penting bagi memastikan fiskal negara berada dalam keadaan mampan dan akhirnya projek pembangunan dan kebajikan dapat dilipatgandakan.
“Pemerkasaan ekonomi tidak boleh datang dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat. SST jangan sampai jadi beban kepada golongan rakyat terbanyak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menempelak pihak yang mahu menjadi hero dengan menyatakan santan akan naik harga jika perluasan SST dilaksanakan.
Menurutnya, santan tidak termasuk dalam senarai produk yang dikenakan SST dan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.
“Usahlah kita lagak seperti hero walhal fakta yang kita bawa tidak tepat. Contoh, santan memang tidak termasuk dalam produk yang dikenakan SST tetapi dek hendak tunjuk lagak hero, konon santan pun dikenakan SST,” katanya.
Kelmarin Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di laporkan berkata, cadangan perluasan SST sebanyak lima peratus akan turut akan menyebabkan barangan keperluan asas rakyat marhaen seperti biskut dan santan mengalami kenaikan harga.
Jelas Muhamad Akmal, Perdana Menteri mungkin terlepas pandang mengenai perkara tersebut.- MalaysiaGazette
















