Onn Hafiz meninjau kerja-kerja menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan lebih RM2 juta menaik taraf portal dan sistem digital Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor bagi meningkatkan perkhidmatannya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu RM1.55 juta untuk naik taraf portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).

“Ini merangkumi e-serahan, e-carian, dan e-consent. Carian persendirian atas talian hak milik strata telah tersedia dan bakal diperluas kepada hak milik landed.

“Peruntukan RM500,000 untuk pembangunan sistem e-SBKS yang mempercepatkan urusan SBKS (Serah Balik Kurnia Semula) kini dipendekkan daripada 510 kepada hanya 53 hari. Sistem ini dilancarkan kepada umum pada September ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menampung keperluan kos operasi, kerajaan negeri telah berbincang tentang cadangan peningkatan Fi Levi Kelulusan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing daripada 2 peratus dengan minimum RM20,000 kepada 3 peratus minimum RM30,000.

Selain itu, ujarnya, cadangan peningkatan juga melibatkan bayaran pendaftaran urus niaga pindah milik tanah bagi hartanah melebihi RM500,000 dan ke atas dengan tambahan RM500 bagi setiap tambahan nilaian hartanah RM100,000.

Cadangan itu juga  telah melalui sesi libat urus dan perbincangan antara PTG Johor bersama-sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor dan Johore Bar Committee.

“Sejak tahun 2014, kadar levi bagi kelulusan perolehan hartanah oleh kepentingan asing telah dikuatkuasakan dan sehingga kini belum pernah disemak semula.

“Begitu juga dengan kadar bayaran pendaftaran bagi urus niaga pindah milik tanah yang masih mengikut Jadual JPU94, telah digunakan sejak tahun 2004 tanpa sebarang pelarasan.

“Inisiatif ini membuktikan kerajaan negeri komited untuk memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, telus dan responsif kepada keperluan rakyat,” katanya.

Onn Hafiz berharap usaha penambahbaikan itu akan terus melancarkan urusan rakyat, mempercepatkan kelulusan urusan tanah dan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam di Johor.

Selain itu, katanya, PTG Johor turut melaksanakan penambahbaikan proses kerja yang mempercepatkan tempoh kelulusan dan pendaftaran urusan tanah.

Ia termasuk permohonan oleh kepentingan asing dipendekkan daripada 70 kepada 21 hari dan urus niaga dan bukan urus niaga tempatan dipendekkan daripada 14 kepada tujuh hari.- MalaysiagGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast