KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag menjadi pilihan Kedah FA sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Semi Pro A1 musim 2025/2026.
Pelantikan diumumkan menerusi platform media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.
“Kedah FA dengan ini mengumumkan Victor Andrag sebagai Ketua Jurulatih bagi musim 2025-2026 untuk Pertandingan Liga A1 Semi-Pro. Pulun Kedah Pulun!,” katanya.
Sebelum ini, Victor dilantik sebagai jurulatih sementara KDA FC menggantikan Nafuzi Zain pada November 2024 lalu.
Dia memulakan tugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kedah dari 2014 hingga 2019 sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih sementara KDA FC menggantikan Aidil Sharin Sahak bagi baki saingan Liga Malaysia pada Oktober 2022.
Sebagai pemain, karier, Victor, 49, muncul pemain penting skuad ‘Double Treble’ Kedah pada 2007 dan 2008 dan pernah diberi gelaran Kapten Marvel oleh penyokong Hijau Kuning. – MalaysiaGazette















