ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berteka-teki nama calon Ketua Polis Negara (KPN) baharu yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau bagaimanapun dilihat agak terkejut ketika diajukan soalan berhubung nama calon KPN itu dan enggan mengulas.
“Ohh ya? Istana beritahukah? Siapa beritahu? Nanti saya tanya Agong dulu ya,” katanya ringkas selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah media melaporkan berlangsung pertemuan antara Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini, bagi mempersembahkan nama calon bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 22 Jun ini selepas dua tahun menerajui pasukan keselamatan negara itu.
Difahamkan, tiga nama calon disebut-sebut adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. – MalaysiaGazette
















