MELAKA – “Sebelum ini, arwah suami kerap pesan minta saya cari pengasuh betul-betul kerana ini bayi terakhir kami dan dia tidak mahu apa-apa yang buruk menimpanya.
“Tidak sangka, rupanya Danial (Nur Muhammad Danial Nuruleffendy, 3 bulan) meninggal dunia di tangannya juga dan saya redha dengan takdir Ilahi ini kehilangan suami serta anak serentak,”.
Itu luahan Azura Abd Malek Yaher, 37, yang kehilangan anaknya itu akibat lemas dipercayai dihempap tangan suaminya, Nuruleffendy Ibrahim, 35, selepas bapa kepada tiga anak itu juga menemui ajal disyaki akibat serangan jantung pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika dua beranak itu berada di rumahnya di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong di sini manakala Azura baru memulakan tugas hari pertama di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selepas cuti bersalin selama tiga bulan.

“Memandangkan anak ketiga kami ini jaraknya 15 tahun dengan anak kedua, arwah sering berpesan supaya menjaga Danial dengan baik kerana takut jika tersalah pilih pengasuh.
“Sepatutnya hari ini emak saya yang jaga Danial, tapi saya minta suami jaga selepas menghantar anak sulung dan kedua berusia 16 dan 15 tahun ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka, lewat petang tadi.
Azura yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, dia juga sudah mendapat pelepasan dari pihak atasan untuk pulang sekejap membawa anaknya itu mendapat suntikan dan pemeriksaan bulanan.
“Saya juga telah dapatkan pengasuh yang sesuai seperti pesanan arwah suami dan sepatutnya mula dijaga pengasuh 1 Julai ini tapi ternyata Allah lebih menyayangi kedua-duanya.
“Pagi tadi, sewaktu hendak ke tempat kerja, saya perasan Danial seperti sayu melihat saya namun saya enggan melayan perasaan kerana menganggap ia perkara biasa setelah cuti selama tiga bulan,” tambahnya.
Dalam kejadian awal pagi Nuruleffendy yang bekerja sebagai mekanik ditemukan meninggal dunia di atas katil di dalam bilik dipercayai akibat serangan jantung sebelum lengan kanannya menutupi muka bayi lelakinya itu menyebabkannya meninggal dunia.
Kejadian disedari Azura yang pulang ke rumah untuk membawa anaknya itu ke hospital sebelum dikejutkan dengan insiden tragis itu dan berusaha untuk menyelamatkan kedua-duanya namun disahkan telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette
















