Zaleha Hamid meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru malam ini.

JOHOR BAHRU – Penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, malam ini.

Allahyarhamah meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam pada usia 65 tahun dan perkhabaran duka itu dikongsikan anak sulung Allahyarham, Ungku Chik Zafirulazman.

Ungku Chik memaklumkan, ibunya sudah seminggu dirawat di hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 6.30 petang tadi, mama mengalami sesak nafas dan dibantu dengan bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas malam ini,” ujarnya ketika dihubungi.

Ungku turut memberitahu proses pengurusan jenazah masih dilakukan di unit forensik HSA dan masih belum dapat dipastikan di mana jenazah akan dikebumikan.

Zaleha dilaporkan terlantar sejak 2020 akibat angin ahmar.

Zaleha digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Singapura dikenali menerusi lagu hitsnya seperti Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Kau Tangiskan dan Kekasih di Tangan Orang.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast