KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa kerajaan menghidupkan semula pelaksanaan dasar larangan merokok terhadap generasi penamat (GEG) dalam membendung ketagihan terhadap vape dan dadah khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ketuanya, Ling Tian Soon berkata, negara ketika ini memerlukan satu akta atau dasar menyeluruh sebagai langkah strategik dalam mengatasi masalah ketagihan terhadap vape dan dadah.
Tambah beliau, ketika ini, beberapa negeri telah mengambil tindakan proaktif dengan mengharamkan penjualan vape sebagai komitmen terhadap usaha membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas ketagihan.
Selain itu, katanya, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) turut bekerjasama rapat Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) dalam melaksanakan pelbagai program pendidikan, intervensi dan pencegahan berkaitan masalah dadah.
“Namun, tanpa undang-undang yang meyeluruh bagi penguatkuasaan rokok elektronik dan vape, kes penagihan dan penyalahgunaan dadah di kalangan belia akan kekal membimbangkan.
“Kami percaya dasar GEG mampu menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada di peringkat negeri dan menyeru Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera bagi menjayakan dasar ini secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tian Soon, sudah tiba masanya kerajaan bertindak lebih tegas dan menyeluruh selaras dengan nama dasar GEG iaitu untuk menyelamatkan generasi masa depan negara daripada ancaman ketagihan vape dan dadah.
Sebelum ini, peruntukan GEG digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas mendapat nasihat daripada Peguam Negara.
Kementerian Kesihatan pada 2023 berkata, berdasarkan pandangan Peguam Negara, pihaknya tidak boleh meneruskan pembentangan di Parlimen jika terdapat kekurangan dan kelemahan terhadap RUU tersebut.
Disebabkan itu, pihak kementerian membuat keputusan untuk mengutamakan kawalan merokok terlebih dahulu sebelum memikirkan soal generasi penamat.
Selain GEG, peruntukan terhadap peranti rokok turut digugurkan di bawah RUU baharu memandangkan ia termaktub di bawah akta sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – MalaysiaGazette
















