MOSCOW – Salah sebuah galeri seni terkemuka di Rusia akan menghentikan penjualan alkohol di premisnya selepas seorang lelaki menyerang sebuah karya dengan besi.

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu selepas mengambil minuman keras.

Peristiwa itu berlaku di Galeri Tretyakov di Moscow pada hari Jumaat menyebabkan kerosakan serius pada salah satu lukisan paling terkenal.

Lukisan itu menggambarkan Tsar Ivan dalam keadaan memangku anaknya yang meninggal dunia dalam keadaan ngeri pada tahun 1581.

Kerosakan artifak itu menimbulkan pertanyaan bagaimana Rusia melindungi artifak sejarah dan budayanya.

Lukisan yang rosak itu adalah karya pelukis terkenal Rusia, Ilya Repin pada tahun 1885 dan hasil seni itu sama liga dengan Mona Lisa.

Rakaman video memaparkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Igor Podporin telah mengambil 100 gram vodka di kafe galeri itu sebelum kejadian.

Igor yang hilang kawalan telah menggunakan batang besi untuk memukul kanvas beberapa kali.

Pengarah Galeri Tretyakov, Zelfira Tregulova berkata, beliau mahu jualan alkohol dihentikan dan akan memaklumkan kepada  penyewa-penyewa kafe dan restoran yang berada di premis tersebut.

“Kita difahamkan terdapat botol kecil wain atau cognac dijual di kafe. Kami akan bercakap dengan pemilik kafe dan meminta mereka mengeluarkannya,” katanya pada sidang akhbar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast