Anggota Pertahanan Awam memindahkan mangsa-mangsa banjir di Taman Bukit Kemuning dan sekitarnya selepas kawasan perumahan mereka dinaiki air ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 20 JUN 2025.

SHAH ALAM – Banjir kilat yang terus berulang di Shah Alam termasuk kejadian terbaharu pada 19 Jun lalu bukan sekadar fenomena cuaca luar biasa tetapi didakwa kesan langsung daripada kemusnahan kawasan hutan yang berterusan di sekitar bandar ini.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Rajesh Nagarajan mendakwa, kejadian ini tidak lagi boleh dianggap terpencil kerana ia mencerminkan kegagalan sistem semula jadi bandar dalam mengawal aliran air hujan.

Katanya, sistem yang sepatutnya berfungsi sebagai benteng banjir kini musnah kerana kerakusan pembangunan.

Beliau berkata, kawasan hutan seperti Hutan Komuniti Shah Alam (SACF), tinggalan Bukit Cherakah dan koridor hijau di sekitar Taman Botani Negara Shah Alam merupakan kawasan tadahan air penting yang membantu menyerap air hujan dan mengurangkan risiko banjir.

Namun, kawasan-kawasan ini semakin diancam akibat pembukaan hutan untuk projek perumahan, pembinaan jalan dan juga tanah perkuburan.

“SACF yang meliputi kawasan hutan tanah pamah seluas 430 ekar di Seksyen U10 hingga U13 kini semakin terfragmentasi akibat pencerobohan serta pembangunan, walaupun ia adalah habitat semula jadi bagi spesies terancam dan merupakan laluan penting bagi hidupan liar.

“Kehilangan pokok-pokok dan kemusnahan struktur tanah telah mengurangkan keupayaan kawasan tersebut untuk menyerap air menyebabkan aliran air deras ke kawasan bandar dan sistem saliran yang tidak mampu menampungnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peguam Rajesh Nagarajan

Tambah beliau, akibat kemusnahan hutan dan bukit-bukit yang ditebang, kesannya kini jelas kelihatan dengan insiden banjir yang semakin kerap dan buruk.

Antaranya, kejadian yang direkodkan termasuk banjir pada 20 Jun lepas yang menenggelamkan sebahagian Lebuhraya KESAS berhampiran Tol Kemuning serta kawasan perumahan di Shah Alam dan Klang, dengan paras air mencecah sehingga satu meter.

“Banjir kilat turut berlaku pada 20 April di Taman Sri Muda dan Taman Melawis, selain tragedi besar Disember 2021 di Taman Sri Muda yang mengorbankan nyawa dandi menyebabkan kerosakan harta benda besar-besaran.

“Ini bukan hanya krisis alam sekitar, tetapi isu kemanusiaan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Kemusnahan hutan telah menyebabkan kerugian ekonomi, kerosakan hartanah, dan penderitaan kepada masyarakat.

“Saya seru kepada Kerajaan Negeri Selangor serta semua pihak berkuasa yang terlibat agar segera menghentikan segala bentuk pembukaan hutan dan projek pembangunan di kawasan sensitif, sama ada kawasan itu telah diwartakan atau tidak,” ujarnya.

Katanya lagi, PEKA juga menuntut agar kawasan seperti SACF dan Bukit Cherakah diwarta semula dan dilindungi secara kekal, serta memulihkan kawasan hutan yang telah terjejas selain menggesa larangan pembangunan dikuatkuasakan di kawasan lereng bukit dan tadahan air.

“Bencana banjir bukan disebabkan semata-mata oleh cuaca tetapi kerana tindakan manusia sendiri yang memusnahkan alam sekitar. Hutan adalah pelindung kita dan kita sendiri yang memusnahkannya pada masa ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast