Kompleks Seri Perdana.

PUTRAJAYA – Beberapa pemimpin PKR hadir di Kompleks Seri Perdana di sini bagi menghadiri mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti hari ini.

Antara kelibat pemimpin yang kelihatan meninggalkan kompleks itu adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Fahmi Fadzil, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Datuk R Ramanan.

Difahamkan, mesyuarat tersebut bermula kira-kira pukul 4.00 petang.

Mesyuarat itu menjadi tumpuan apabila apabila ia kali pertama diadakan selepas pemilihan parti pada bulan lalu yang menyaksikan Nurul Izzah Anwar diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden PKR.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan kedua tertinggi kepimpinan parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.

Sementara itu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden parti.

Fahmi pula menerima undi tertinggi dalam pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast