Timbalan Ketua AMK Selayang, Muhammad Amir Sahmat

KUALA LUMPUR – Sudah 47 hari berlalu sejak 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Selayang meletakkan jawatan secara serentak, namun  kepimpinan pusat PKR didakwa masih gagal mengambil sebarang tindakan.

Tindakan yang dimaksudkan termasuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Timbalan Ketua AMK Selayang, Muhammad Amir Sahmat mendakwa, tindakan peletakan jawatan itu dibuat pada 5 Mei lalu selepas kesemua 14 AJK yang dipilih dalam pemilihan 12 April lalu hilang kepercayaan terhadap Ketua Pemuda baharu, Tamilarasu Thamil Kalai, susulan dakwaan pemilihan yang tidak telus.

“Sudah tiga kali kami menghantar surat rasmi kepada Ibu Pejabat PKR dan pimpinan tertinggi, tetapi tidak ada satu pun tindakan konkrit diambil.

“Tempoh 30 hari untuk mengadakan mesyuarat khas seperti termaktub dalam perlembagaan telah lama berakhir, kini sudah masuk hari ke-47 tapi tidak ada apa-apa tindakan,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata, surat itu telah dihantar pada 7 Mei, 4 Jun dan 18 Jun lalu kepada Setiausaha Pemuda Pusat Omar Mokhtar dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh selain  kepada Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Kesemua 14 AJK turut menandatangani Surat Akuan Sumpah dan surat peletakan jawatan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tamilarasu yang dikatakan tidak mendapat mandat majoriti AJK.

“Ini bukan soal peribadi, tetapi prinsip. Kami menolak kepimpinan yang tidak mendapat kepercayaan majoriti dan mahukan semula ruang demokrasi ditegakkan di peringkat cabang,” ujarnya.

Berdasarkan Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 32.4 Perlembagaan PKR, jika dua pertiga AJK sesebuah cabang meletakkan jawatan, jawatankuasa itu terbubar secara automatik dan satu Jawatankuasa Penaja perlu dibentuk menerusi Mesyuarat Agung Khas dalam tempoh 30 hari.

Namun menurut Amir, bukan sahaja mesyuarat khas tidak diadakan malah wujud cubaan memujuk semula AJK yang telah meletakkan jawatan supaya menarik balik keputusan mereka.

“Tindakan pimpinan pusat ini seolah-olah mengenepikan suara akar umbi AMK Selayang. Kami mahukan proses yang adil dan sah dari segi perlembagaan, bukan berusaha menyapu masalah di bawah karpet,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast