BUKIT MERTAJAM – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi amaran bahawa lesen bagi Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) dan Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) boleh ditarik balik sekiranya pengusaha gagal memastikan kebajikan serta keselamatan penghuni dikendalikan dengan baik.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan tegas itu akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) khususnya melibatkan isu keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau merujuk kepada insiden rusuhan yang berlaku pada Jumaat lalu membabitkan sekumpulan warga asing di sebuah penginapan pekerja di bangunan The Summit di sini yang turut menyebabkan kerosakan harta benda.
“Saya telah berjumpa dan memberi peringatan kepada pengusaha penempatan ini supaya memastikan kawasan penginapan selamat dan tidak menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan penduduk setempat.
“Sekiranya pengusaha gagal menguruskan TLQ dengan baik atau tidak mampu menjamin keamanan, maka tidak ada pilihan selain meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menarik balik lesen operasi mereka,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Timbalan Pengarah JTK Pulau Pinang, A. Thanavalli.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, insiden tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan, walaupun kekecohan hanya membabitkan penghuni dan penyelia syarikat pengurusan bangunan terbabit.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden itu manakala JTK turut mengambil tindakan sewajarnya bagi menilai tahap pematuhan pengusaha terhadap Akta 446.
“Kita akan terus memantau isu ini sehingga selesai. Jika didapati terdapat pelanggaran, tindakan tegas termasuk penarikan lesen TLQ akan diambil demi menjaga kepentingan dan keselamatan penduduk tempatan.
“Permit pekerjaan warga asing juga boleh ditarik balik jika ia menjejaskan kesejahteraan awam,” katanya.
Difahamkan bangunan berkenaan menempatkan seramai 1,113 penghuni warga asing yang terdiri daripada 946 rakyat Bangladesh, 129 warga Nepal dan 38 warga Myanmar.
MBSP sebelum ini telah meluluskan permit bagi menjadikan bangunan tersebut sebagai TLQ sehingga Disember 2027.
Media semalam melaporkan seramai 46 lelaki warga asing ditahan polis selepas melakukan protes dan merosakkan sebuah van milik syarikat ekoran rasa tidak puas hati terhadap tindakan seorang warden asrama yang didakwa mengenakan denda secara peribadi ke atas mereka. – MalaysiaGazette
















