PUTRAJAYA – Edisi pertama Kejohanan Terbuka Pickleball Putrajaya 2025 baru-baru ini berjaya menarik penyertaan seramai 144 peserta dalam empat kategori utama, membuktikan sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Bertempat di Dewan Pusat Kejiranan Presint 11, kejohanan anjuran Persatuan Pickleball Putrajaya (PUPA) turut menampilkan program sampingan seperti Klinik Pengenalan Sukan Pickleball, sesi percubaan sukan serta kelas untuk kanak-kanak melalui program Junior Sang Putra.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi MPP Wilayah Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abd Kari dan Datuk Seri Hasim sebagai Penaung PUPA yang turut menyuarakan hasrat agar gelanggang khas Pickleball dibina di Putrajaya.
Pada kejohanan itu, pasangan Effreeza dan Arisa menjadi juara Beregu Wanita Terbuka, Hazly dan Omair (Beregu Lelaki Terbuka), serta Syed Azahar dan Siti Aisyah (Beregu Campuran Terbuka). Kategori Masters 45+ [ula dimenangi Hazly dan Effreeza.
Menurut Presiden PUPA, Ir. Amir Farid Abdul Majid, kejohanan ini menjadi bukti komitmen pelbagai pihak walaupun fasiliti khusus belum tersedia. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja dan KBS atas sokongan melalui Dana Sukan Komuniti.
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan turut menyatakan komitmen untuk mengangkat Pickleball sebagai salah satu sukan yang berpotensi ke peringkat SUKMA, manakala KBS Putrajaya menyokong melalui geran sukan akar umbi.
Dengan sambutan luar biasa dan sokongan pelbagai agensi serta penaja termasuk Felet, Nestlé, Vida dan Stella Kasih Medical Centre, kejohanan ini membuka lembaran baharu kepada pembangunan Pickleball di Putrajaya. – MalaysiaGazette















