KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenal pasti setakat 15 Jun tahun ini.
Kenyataan bersama SKMM dan PDRM hari ini memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 94 peratus (1,415 kandungan) berjaya diturunkan hasil kerjasama SKMM, penyedia platform digital dan aduan awam.
Katanya, pemantauan harian dan operasi seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 turut membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di beberapa negeri.
Tegasnya, tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sabit kesalahan, ujarnya, boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.
“Selain itu, perbuatan menghasilkan, menyebar, berkongsi, menjual, membeli, membuat capaian dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebagai pendekatan menyeluruh, SKMM turut mempergiatkan usaha kesedaran menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang memfokuskan kalangan pelajar, ibu bapa dan juga komuniti.
Jelasnya, salah satu objektif kempen itu adalah menekankan larangan pemilikan akaun sosial media oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun dan ke bawah.
“SKMM dan PDRM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, pemilik platform dan pengguna internet agar bersama membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak.
“Setiap laporan awam akan membantu siasatan dan mencegah lebih banyak penganiayaan,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, orang ramai diseru segera laporkan sebarang aktiviti dalam talian yang mencurigakan kepada SKMM melalui e-mel di [email protected], https://aduan.mcmc.gov.my, atau terus ke balai polis berhampiran.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan kewujudan Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang didakwa menyebarkan gambar remaja perempuan tidak senonoh.
Bagaimanapun, kumpulan FB berkenaan sudah ditutup selepas SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan siasatan berkenaan perkara itu sedang dijalankan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















