KUALA LUMPUR – Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) menjadi bukti bagaimana golongan muda boleh diasuh menjadi pemimpin berkualiti melalui proses demokrasi berparlimen yang matang bukan melalui tindakan provokatif seperti membakar karikatur pemimpin negara.
Itu antara luahan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivaramalar Genapathy yang mendedahkan tentang penyertaan aktif 65 wakil belia dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam SBWP baru-baru ini.
Katanya ini jelas menunjukkan kemampuan golongan muda untuk berhujah secara bernas, memahami dasar dan menawarkan solusi kepada pelbagai isu negara.
“Saya amat kagum dengan kecerdasan dan kematangan para belia SBWP yang hadir daripada pelbagai latar belakang.
“Mereka bukan sahaja berdebat, tetapi mengemukakan cadangan dasar yang praktikal serta bersifat nasional merangkumi isu ekonomi, sosial, teknologi dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Pertama SBWP Penggal 2025 di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Sivaramalar turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan penunjuk perasaan di Kota Kinabalu yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah 2.0’ baru-baru ini.
“Ini bukan sahaja mencemarkan adab masyarakat, tetapi mencerminkan kegagalan sesetengah pihak untuk membimbing belia ke arah saluran yang lebih bertamadun dan konstruktif,” katanya. – MalaysiaGazette















