PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibenar merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon yang perlu dijelaskan oleh bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Tan Sri Nallini Pathmanathan menyampaikan keputusan itu dalam prosiding dalam talian selepas mendengar hujahan peguam kedua-dua pihak.
Turut bersidang Hakim-Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Panel itu membenarkan pihak-pihak berhujah terhadap satu persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh PKR dalam rayuan yang akan ditetapkan kelak.
Mahkamah akan menentukan sama ada pihak `A’ bersetuju membayar sejumlah wang kepada `B’ sebagai ganti rugi dipersetujui di bawah kontrak apabila berlaku sesuatu peristiwa tertentu, sebagai pampasan munasabah.
Pada prosiding hari ini, PKR diwakili peguam Ranjit Singh, William Leong, Navpreet Singh, Sakina Siraj, Chew Chun Man dan Liew Hong Wei manakala Zuraida diwakili Tan Sri Azhar Azizan Harun, Nurul Najwa Zainuddin dan Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Pada 2020, PKR menyaman Zuraida dan mendakwa beliau melanggar ikatan kontrak dengan menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun sama.
Saman itu dikemukakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti, mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Syarat bon itu memerlukan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari jika beliau meletak jawatan daripada parti itu untuk menyertai parti politik lain atau menjadi calon bebas.
Dalam pembelaannya, Zuraida mendakwa bon itu melanggar hak perlembagaannya untuk kebebasan berpersatuan.
Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Zuraida bertanggungjawab dan memerintahkannya membayar RM10 juta kepada PKR seperti yang ditetapkan dalam instrumen bon.
Pada 11 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk See Mee Chun mengesahkan liabilitinya kerana melanggar bon, tetapi mengurangkan kuantum pampasan kepada RM100,000. – MalaysiaGazette
















