KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan desas-desus yang mengaitkan kononnya parti itu akan dibubarkan, manakala ahli-ahlinya akan diserap menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah, Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, parti itu diperingkat Cawangan dan negeri juga baru selesai mengadakan persidangan tahunan yang mana kepimpinan di peringkat negeri sudah pun dilantik.
Dalam masa sama, ujarnya, parti itu kini sedang dalam proses untuk menyelesaikan pemilihan di peringkat Pusat yang mana keputusan undiannya akan diketahui pada Perhimpunan Agung Pejuang pada 19 Julai depan.
“Jadi pada tarikh itu, ahli-ahli Pejuang juga akan memilih pemimpin jawatan tertinggi Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-ahli dalam Majlis Tertinggi (MT) Pejuang.
“Dalam masa sama, perhimpunan itu juga akan dihadiri semua ketua-ketua parti (mesra Pejuang) seluruh negara selain kehadiran tetamu kehormat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Jadi, desas-desus yang mengaitkan kononnya Pejuang mahu dibubarkan itu memang tidak ada, saya menafikan sekeras-kerasnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Muhammad Rafique diminta mengulas mengenai desas-desus yang tersebar di laman sosial yang mendakwa sebuah parti politik akan dibubarkan dengan ahli-ahlinya akan diserap menjadi ahli Bersatu.
Desas-desus itu kemudiannya pantas dikaitkan dengan Pejuang memandangkan pemimpin dan ahli-ahli parti tersebut merupakan mereka yang keluar atau meninggalkan Bersatu sebelum ini.
Antara pemimpin berkenaan ialah Dr. Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang merupakan antara pengasas kepada penubuhan Bersatu.
Desas-desus pembubaran Pejuang itu juga diperkuatkan lagi dengan gerakan `payung besar’ bagi penyatuan orang Melayu yang dirintis Dr. Mahathir bersama-sama beberapa pemimpin politik Melayu lain khususnya dari kem pembangkang.
Sementara itu, Muhammad Rafique berkata, ahli-ahli Pejuang ketika ini juga masih bergiat aktif di bahagian masing-masing selain turut tampil memperjuangkan isu-isu khususnya berkaitan kebajikan rakyat dan kelemahan Kerajaan Madani.
Dalam masa sama, jelasnya, ahli-ahli Pejuang juga giat mempromosikan idea gagasa `payung besar’ oleh Dr. Mahathir yang disifatkan bernas dalam menyatukan umat Islam dan orang Melayu di bawah satu gagasan tanpa mengira latar belakang politik.
“Pejuang masih boleh memainkan peranan kami sebagai sebuah parti politik di bawah gagasan `payung besar’ ini tanpa perlu kami membubarkan parti ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















BERSATU parti anai anai. PAS patut tinggalkan BERSATU dan bergerak solo.