KUALA LUMPUR – Seorang penyelam wanita yang dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Chebeh, Pulau Tioman semalam, ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Sharif Shai Sharif Mondoi, wanita itu ditemui oleh orang awam yang sedang melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Tulai pukul 8.45 pagi tadi.
Katanya, wanita tersebut dijumpai dalam keadaan baik dan selamat.
“Difahamkan, mangsa telah dihanyutkan arus sejauh lebih kurang 1.4 kilometer dari lokasi asal beliau menyelam, sebelum berjaya berenang dan menyelamatkan diri ke Pulau Tulai sekitar pukul 11.30 malam.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek untuk pemeriksaan lanjut dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, anggota polis yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Pulau Tioman menerima maklumat daripada anggota Pondok Polis Salang mengenai kehilangan seorang wanita Melayu semasa menyelam kira-kira pukul 1.15 petang.
Siasatan awal mendapati, mangsa telah menyertai aktiviti menyelam bersama seorang instruktor dan sembilan lagi penyelam lain di Pulau Chebeh bermula pukul 10.45 pagi hingga 11.20 pagi.
Setelah sesi menyelam pertama tamat, kesemua penyelam naik ke permukaan untuk ke lokasi selaman seterusnya, namun wanita terbabit memaklumkan ingin menyelam sekali lagi secara bersendirian.
Bagaimanapun, setelah hampir 30 minit berlalu wanita itu masih tidak muncul di permukaan menyebabkan instruktor tersebut turun ke dasar laut bagi mencari mangsa namun, gagal menemuinya.
Mereka kemudian bergegas ke Kampung Salang untuk mendapatkan bantuan orang awam dan anggota polis.
Sekitar pukul 1.00 petang, dua anggota Pondok Polis Salang bersama orang awam menaiki dua buah bot memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.
Bantuan turut dikerah dari Balai Polis Pulau Tioman dan Balai Bomba Tioman sekitar pukul 3.30 petang bagi memperluaskan pencarian.
Namun, operasi SAR terpaksa dihentikan pada pukul 6.30 petang akibat cuaca buruk dengan hujan lebat dan ribut yang melanda kawasan tersebut. – MalaysiaGazette
















