Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyaksikan sesi penyerahan dokumen di antara Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Pemangku Pengarah JSJ, Datuk Fadil Marsus pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disifatkan satu penghormatan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, pelantikan Shuhaily bukan sahaja menandakan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan beliau malah membuka lembaran baharu dalam memperkasakan peranan PDRM.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap kepada wartawan selepas hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2025

“Alhamdulillah, pagi ini kita dapat melaksanakan lagi satu titik bersejarah dalam PDRM. Pelantikan Shuhaily ini adalah satu penghormatan kepada pasukan kerana beliau diberikan kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi penting demi keselamatan negara secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majis Serah Terima Tugas Jabatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari imi.

Mohd Khalid menegaskan pelantikan itu bukan satu perkara kecil sebaliknya merupakan amanah besar yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Ini amanah yang berat. Namun saya percaya PDRM akan memberikan sokongan penuh agar tugasan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap warga asing yang ditahan berkaitan kes militan dalam beberapa operasi sekitar Selangor dan Johor pada 24 April lalu.

“Setakat ini, kita telah menahan 36 warga asing, majoritinya dari Bangladesh. Sebahagian mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala yang lain telah diusir keluar. Beberapa individu masih dalam siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast