Kredit Hanifah

KUALA LUMPUR – Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah mencipta sejarah dengan memenangi empat pingat emas dan memecahkan rekod Asia bagi acara jump sebanyak tiga kali pada Kejohanan Ski Air Asia IWWF 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Atlet berusia 21 tahun itu mengungguli kategori terbuka wanita dengan menyapu bersih keempat-empat acara, slalom, jump, tricks dan keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut selepas kejayaan sama pada edisi 2019 (Thailand) dan 2022 (Korea Selatan).

Persembahan cemerlang Aaliyah turut membantu Malaysia merangkul gelaran juara keseluruhan berpasukan buat julung kalinya apabila mengumpul 7,262.44 mata, mengatasi Jepun (6,664.52 mata) dan Korea Selatan (5,059.65 mata) berdasarkan jumlah markah gabungan acara slalom, tricks dan jump.

“Kami sangat berbangga dengan pasukan ini. Aaliyah kini berada di kemuncak prestasi dan turut membimbing adik-adiknya sehingga mampu menewaskan peluncur air lelaki terbaik Asia,” kata ketua jurulatih kebangsaan Hanifah Yoong.

Adik Aaliyah, Aiden turut menyerlah apabila memenangi dua pingat emas dalam acara tricks dan keseluruhan lelaki, selain mencipta rekod kebangsaan baharu dengan 5,700 mata dalam acara tricks. Beliau juga menyumbang dua pingat gangsa dalam acara slalom dan jump.

Sementara itu, seorang lagi adiknya, Adam turut menyumbang satu pingat gangsa dalam acara tricks lelaki.

Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas daripada kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 29 Jun. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast