PUTRAJAYA – Pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan dimuktamadkan pada September ini sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan tersebut bakal menjadi langkah penting ke arah pengiktirafan undang-undang yang kukuh untuk orang asli.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menambah, pindaan itu bukan sahaja untuk melindungi tanah adat tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan yang lebih tersusun dan berasaskan hak komuniti.
“Setelah sekian lama diperjuangkan, kini kita berada di fasa akhir melihat kejayaan ini untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), umpamanya Akta 134 yang menyentuh pemilikan tanah masyarakat Orang Asli.
“Insya Allah, dan kita harapkan akta ini akan dimuktamadkan selewat-lewatnya September ini dan berazam untuk dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Julai di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, kementeriannya juga telah diberi amanah untuk merencanakan pembangunan masyarakat desa pada tahun ini yang bernilai hampir RM12 bilion.
“Sehingga hari ini, sebanyak RM3.37 bilion telah dibelanjakan tetapi nilai yang besar bukanlah segalanya, paling penting sejauh mana kehidupan rakyat benar-benar berubah hasil usaha kita,” jelasnya. -MalaysiaGazette
















