PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi tentera, Kolonel Dr Kunaseegaran, 63, atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais 10 tahun lepas.
Dua lagi individu iaitu S Nimalan, 32, dan S Ravi Chandran, 54, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 40 tahun.
Nirmalan juga dijatuhi hukuman sebat 12 kali manakala atas faktor usia, Ravi Chandran terlepas dari sebatan kerana sudah berusia lebih 50 tahun.
Namun, dalam keputusan mengejutkan, tiga lagi tertuduh R. Dinishwaran, 33; A.K. Thinesh Kumar, 32; dan M. Vishwanath, 35 dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap mereka.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Menurut keputusan sebulat suara itu, hukuman terhadap Kunaseegaran kekal berikutan beliau telah menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini, penarikan balik itu sekali gus memperkukuh keputusan sabitan terhadapnya.
Kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara itu melibatkan pembunuhan kejam ke atas Kevin Morais yang mayatnya ditemui dalam tong dram berisi konkrit di sebuah laluan sunyi di Subang Jaya pada 16 September 2015 hampir dua minggu selepas beliau dilaporkan hilang.
Kesemua enam tertuduh sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 atas tuduhan membunuh mangsa di antara lokasi di Jalan Dutamas Raya, Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.
Tuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Rayuan mereka di Mahkamah Rayuan juga ditolak pada Mac tahun lalu apabila panel hakim ketika itu mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi, dengan mengambil kira bahawa pembunuhan tersebut dilakukan secara terancang selain menunjukkan elemen kekejaman yang melampau.
Keadaan mayat Kevin Morais yang ditemui dalam tong dram dipenuhi konkrit turut menjadi faktor pemberat dalam hukuman tersebut. -MalaysiaGazette
















