Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.

KUALA LUMPUR – Budaya jangan ‘jaga tepi kain orang’ semakin berakar sehingga kita menjadi masyarakat yang semakin kurang cakna dan tidak peduli.

Tambah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi jaringan kekeluargaan dan budaya kejiranan dalam masyarakat dilihat semakin rapuh.

“Hubungan kekeluargaan dan kejiranan semakin longgar akibat tekanan kerjaya, desakan ekonomi dan kesibukan hidup.

Lebih membimbangkan, walaupun kita hidup dalam era teknologi komunikasi yang canggih, masyarakat tetap gagal memanfaatkannya untuk membina hubungan yang bermakna,” katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/01/ibu-mati-bersama-anak-sudah-bercerai-jiran-ingat-telah-pindah-mgflash/

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan terhadap kematian terpinggir keluarga tanpa disedari yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan supaya memberikan keutamaan terhadap agenda pembangunan dan kesejahteraan keluarga serta komuniti sebagai komponen utama dalam hala tuju pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Agenda “Sayangi Keluarga dan Keluarga Diutamakan” dilihat semakin malap dan hampir pupus dalam masyarakat kita,” katanya lagi.

Jelasnya, pembangunan negara tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi berpaksikan kesejahteraan rakyat, keutuhan institusi keluarga dan kekuatan jaringan sosial dalam masyarakat.

“Kita memerlukan hala tuju pembangunan yang menyatukan ekonomi, sosial dan kesejahteraan keluarga sebagai teras kemajuan negara yang seimbang.

Kata Mumtaz lagi, kerajaan harus memberi penekanan terhadap bajet mesra keluarga dan komuniti dengan dana yang cukup untuk membina kemudahan, program dan sistem sokongan yang dapat membantu memperkukuh institusi keluarga serta membina masyarakat yang penyayang dan cakna.

Dalam masa yang sama beliau berkata, kempen kasih saying terhadap ibu bapa, adik-beradik dan keluarga juga perlu diutamakan menerusi televisyen, media sosial dan semua saluran komunikasi arus perdana.

“Kempen ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan kreatif bagi menyuburkan semula budaya menghargai keluarga dan membina rasa tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Selain itu katanya, pemimpin masyarakat setempat juga mesti tampil proaktif dalam membina semula jaringan sosial yang kukuh di peringkat komuniti.

“Mekanisme sosial yang positif perlu diwujudkan dengan lebih meluas bagi memperkukuh sistem sokongan keluarga dan kejiranan agar tiada siapa yang terpinggir atau terputus hubungan,” katanya lagi.

Isnin yang lalu, seorang wanita dan anak perempuannya ditemukan dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir.

Polis kemudian mengesahkan kejadian itu sebagai kes mati mengejut (SDR).

Siasatan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun.

Kemudian semalam dilaporkan, tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban.

Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast