KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan melihat kebimbangan mahasiswa berhubung pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam konteks yang lebih luas.
Ketua Portfolio Pendidikan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, isu yang dibangkitkan mahasiswa itu bukan soal sama ada mereka perlu membayar bil elektrik atau sama ada universiti awam akan dikenakan tarif baharu.
Sebaliknya, tambah Ahli Parlimen Indera Mahkota berkenaan, isu pokok yang jauh lebih besar ialah kesan menyeluruh terhadap kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat termasuk mahasiswa.
Tegas beliau, kos sara hidup itu sudah dirasai rakyat sebelum pun tarif elektrik dan cukai SST dinaikkan, dan keadaan dijangka menjadi lebih membebankan selepas pelaksanaan cukai tersebut.
“Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian (supply chain) kepada banyak sektor.
“Harga makanan dan barangan asas di kampus-kampus dijangka meningkat apabila kos operasi pembekal turut meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir mahasiswa yang didakwa menyebar maklumat tidak tepat kononnya berlaku kenaikan kadar elektrik akibat pelaksanaan SST.
Anwar berkata, beliau tidak menolak sebarang kritikan, namun meminta semua pihak terutama anak muda supaya menyuarakan pendapat dengan berasaskan kebenaran.
Perdana Menteri yang juga bekas pemimpin pelajar turut mengingatkan golongan muda agar tidak sewenang-wenangnya menjadikan kebebasan bersuara sebagai medan menyebar fitnah atau maki hamun.
Sementara itu, Saifuddin mengingatkan mahasiswa adalah antara golongan yang paling terkesan dengan pelaksanaan SST kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada pinjaman atau bantuan.
Ujarnya, ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman di dalam kampus, sebaliknya tinggal di luar dan perlu menanggung kos sewa, pengangkutan serta utiliti secara langsung.
Sehubungan itu, tambah beliau, implikasi kenaikan-kenaikan kos susulan pelaksanaan SST terhadap golongan mahasiswa amat nyata dan tidak wajar disangkal.
“Saya menyeru agar kerajaan mengambil serius bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa, dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka.
“Berempatilah terhadap mahasiwa!” katanya. – MalaysiaGazette
















