Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang (PQQMNPP) mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) menganjurkan konvensyen atau Murtaqo Wehdatul Ummah (MWU) peringkat nasional bagi menyatupadukan umat Islam.

Yang Dipertua PQQMNPP, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, inisiatif itu penting memandangkan perpecahan umat Islam kini semakin serius akibat perbezaan fahaman politik, sehingga Islam diperalatkan demi kepentingan tertentu.

Katanya, usaha penyatuan ummah perlu digerakkan segera bersempena Maal Hijrah bertemakan Membangun Ummah Madani, kerana tanpa perpaduan, umat Islam tidak akan mampu dibangunkan secara menyeluruh.

“Jika perpecahan ini dibiarkan, umat Islam khususnya orang Melayu akan terus berbalah sesama sendiri hanya kerana politik dan ini bukan ajaran Islam sebenarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menyokong titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Mesyuarat MKI ke-73 baru-baru ini yang membangkitkan kebimbangan terhadap kekuatan ummah yang semakin rapuh.

“Hanya Jakim dan MKI yang boleh menjadi pemudah cara bagi penyatuan ini menerusi jawatankuasa gabungan kariah masjid seluruh negara, yang berada di bawah naungan DYMM Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam.

“Lebih 15,000 kariah masjid boleh bersatu di bawah satu khemah besar, menjadikan ia suara keramat umat Islam yang tidak boleh digugat, berbanding cadangan “Payung Besar Melayu” oleh ahli politik yang mungkin mempunyai agenda tersendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast