Seorang lelaki maut selepas kereta melanggar sebatang pokok di Jalan Muar-Labis, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 1 Jalan Muar-Labis di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pukul 5.50 pagi semasa mangsa yang berusia 48 tahun memandu seorang diri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berkenaan datang dari arah Labis menghala ke Muar.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu tersebut hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu berkenaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ahmad Zamry meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu untuk menghubungi balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9325811.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penguasa Bomba Kanan I Hairishah Wahid berkata, lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Jelasnya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam operasi itu.

“Kemalangan itu mengakibatkan kereta tersebut terbabas ke tebing parit pada kedalaman empat kaki. Mangsa dikeluarkan dengan mengggunakan stretcher untuk naik ke atas.

“Mangsa diserahkan kepada pihak pegawai perubatan yang hadir sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast