REMBAU – Satu Modul Usaha, Takwa, Mulia (UTAMA) yang mengandungi aspirasi dalam memartabatkan jiwa dan jatidiri mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah diadakan di Kampus Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program yang mengandungi enam aspirasi tersebut diadakan bertujuan menerapkan pemikiran, emosi, semangat, aspirasi dan tingkahlaku mahasiswa UiTM melalui perkongsian bersama para fasilitator UTAMA Kampus Rembau.
“Program yang dihadiri seramai 1,043 pelajar kampus Rembau semester satu dan kedua ini dibahagikan mengikut semester para pelajar,” kata Fasilitator UTAMA Rembau, Dr. Purnomo M. Antara dalam kenyataan.
Beliau berkata, keseluruhannya terdapat enam aspirasi iaitu semester pertama topik Asas DNA UiTM, UiTM Cergas, semester kedua Celik Fikir, Asas Keselamatan Negara, dan semester ketiga iaitu Jiwa UiTM dan Kecermelangan dan Kemandirian Mahasiswa.
Tambah beliau lagi, modul itu secara tidak langsung dapat menerapkan konsep self of belonging serta memupuk nilai asas sebagai seorang mahasiswa UiTM yang intelektual secara komprenhensif.
Seramai lapan orang tenaga pengajar fasilitator Rembau membantu dalam mengendalikan program modul UTAMA yang dahulunya juga dikenali sebagai program Modul Aspirasi DNA UiTM (PADU) selaras dengan moto UiTM iaitu Usaha, Insan, Takwa, dan Mulia. – MalaysiaGazette
















