KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan kematian seorang anggota Grup Gerak Khas (GGK) dari Rejimen 22 Komando semasa melaksanakan Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Anggota berkenaan, Allahyarham Koperal Mohd Haswansir Julnasir berusia 30 tahun.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang pada 3 Julai lalu sekitar 12.15 tengah hari semasa melaksanakan Latihan selaman menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus di perairan Dock Port, Kuantan.
“Sebagai anggota yang sangat terlatih dalam kepakaran serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim di mana latihan seumpama itu merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mengekalkan kemahiran peringkat tinggi,” kata kenyataan TDM hari ini.
TDM juga telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat dan mayat allahyarham ditemui oleh pasukan rondaan permukaan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia semalam kira-kira pukul 10 pagi.
Lokasi penemuan dalam jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian.
Semua peralatan termasuk kelengkapan selaman dan senjata M4 ditemui lengkap bersama mangsa.
Jenazah allahyarham dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk proses bedah siasat dan jenazah telah dihantar ke kampungnya di Semporna, Sabah dan sudah dikebumikan.
Justeru TDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan mengkaji kejadian yang berlaku.- MalaysiaGazette
















