Orang kena saman (OKS), Suhaila Abd Halim, 39, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah (3) hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat yang salah melalui media sosial atau platform dalam talian terhadap KDYMM YDPA Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JULAI 2025.

 

 

 

SHAH ALAM – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada 4 Januari lalu.

Tertuduh, Suhaila Abd Halim, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya kepada Yang di-Pertuan Agong dengan niat menyakiti hati orang lain.

Dia menggunakan perkhidmatan aplikasi akaun Facebooknya ‘Suhaila Halim’ dan hantaran dilihat pada 5 Januari sekitar jam 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh, Jalan Hospital dalam daerah Petaling.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari bagi kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Orang kena saman (OKS), Suhaila Abd Halim, 39, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah (3) hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat yang salah melalui media sosial atau platform dalam talian terhadap KDYMM YDPA Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JULAI 2025.

 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali.

Mohamad Azmir kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin warga tempatan namun Suhaila yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah sebanyak RM500.

“Saya mohon jaminan rendah sebab saya seorang suri rumah, mempunyai enam orang anak, dan hanya suami sahaja yang perlu menyara keluarga,” katanya dalam prosiding tersebut.

Hakim Norazlin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali.

Selain itu, tertuduh tidak boleh menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September depan bagi serahan dokumen serta lantikkan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast