Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Fahmi dalam satu majlis rasmi anjuran International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Projek Inklusif Digital NADI Malaysia melakar sejarah apabila dinobatkan juara Hadiah World Summit On The Information Society (WSIS) 2025 sekaligus mengangkat nama negara di pentas antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, anugerah itu merupakan inisiatif memperkasa komuniti terpencil melalui literasi digital dan kesalinghubungan.

“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini bagi pihak Malaysia. Projek NADI Pulau Banggi membuktikan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun dipinggirkan dalam era digital,” katanya selepas majlis penyampaian di Geneva, Switzerland.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, anugerah berprestij itu disampaikan kepada Fahmi dalam satu majlis rasmi anjuran International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Projek NADI Pulau Banggi diumumkan sebagai juara kategori C4: Capacity Building hasil kejayaan menyediakan latihan kemahiran digital serta peluang ekonomi kepada komuniti terpencil di pulau tersebut. 

Selain itu, inisiatif tersebut turut diiktiraf sebagai antara projek transformasi digital paling memberi impak dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pulau Banggi yang terletak lebih 70 kilometer dari Kudat, Sabah sebelum ini menghadapi kekangan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi disebabkan kedudukannya yang terpencil. 

Namun menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), hab digital komuniti NADI kini menyediakan sambungan Internet berkelajuan tinggi serta latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar dan pengusaha kecil.

Hasilnya, belia berjaya memperoleh kemahiran digital, wanita tempatan memulakan perniagaan atas talian dan usahawan kecil mampu meluaskan pasaran secara digital. 

Kejayaan itu turut membuka jalan kepada peluasan projek NADI ke kawasan lain seperti Pulau Mandi Darah, dengan sasaran peluasan ke seluruh negara menjelang 2035.

Dalam pada itu, Projek Stingray II Pulau Ketam turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi kategori C2: Information and Communication Infrastructure.

Projek  berjaya menyediakan sambungan gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer dari Kapar ke Pulau Ketam, sekaligus membolehkan pelajar mengikuti kelas dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan perniagaan kecil berkembang secara digital.

Kejayaan Malaysia meraih dua anugerah WSIS mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara peneraju dalam misi kesaksamaan digital, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada rakyat tertinggal dalam arus pendigitalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast