S. P. Punithan.

KUALA LUMPUR – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyifatkan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman negara bukan sekadar isu politik sebaliknya ancaman serius terhadap asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Menurut Presiden MIPP, P Punithan, pendedahan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan lapan lagi Ahli Parlimen mengenai dakwaan gangguan terhadap kebebasan badan kehakiman tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

“Pendedahan ini tidak boleh disapu ke bawah permaidani atau dianggap sekadar bunyi-bunyian politik. Apabila integriti kehakiman dipersoalkan, kepercayaan rakyat terhadap keadilan dan keseluruhan sistem negara turut terjejas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas mengenai sidang akhbar sekumpulan ahli Parlimen PKR diketuai Ahli bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.

Sidang akhbar yang turut disertai enam ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan.

Menurutnya, gesaan sembilan Ahli Parlimen tersebut agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan adalah langkah yang wajar dan mendesak.

“Saya menyambut baik keberanian sembilan Ahli Parlimen itu dalam membawa isu ini ke hadapan. Usul untuk menubuhkan RCI amat tepat pada masanya.

“Selama ini Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sama-sama menekankan bahawa institusi kehakiman harus bebas daripada pengaruh politik,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Krisis kehakiman: Teresa gesa Anwar beri taklimat kepada MP kerajaan

9 ahli Parlimen PKR gesa RCI siasat kemelut lantikan ketua hakim negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast