KUALA LUMPUR – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tan Sri MuhyiddinYassin untuk terus kekal menerajui parti sebagai presiden pengasas dan memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sokongan tersebut sejajar dengan keputusan yang dipersetujui dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024 yang mengiktiraf peranan penting Muhyiddin sebagai tokoh berwibawa, berpengalaman dan berintegriti.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Sembilan, Anip Abu Baker menegaskan, Muhyiddin pemimpin yang amat penting dalam memperkukuhkan hala tuju perjuangan parti serta gabungan PN.
“Bersatu Negeri Sembilan sedang giat memperkukuh jentera parti di semua peringkat. Gerak kerja yang dilaksanakan akan tertumpu kepada penyusunan semula organisasi secara strategik, penggemblengan kekuatan akar umbi serta peningkatan latihan dan kesiapsiagaan jentera parti dalam menghadapi PRU-16.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan parti dapat bergerak dengan lebih mantap dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, Bersatu hanya akan berjaya apabila mempunyai iltizam dan memiliki kesetiaan yang kukuh kepada kepimpinan.
Oleh kerana itu ahli Bersatu perlu yakin bahawa parti akan mampu menghadapi segala cabaran mendatang dan membawa suara rakyat dengan lebih efektif.
Tambahnya, Muhyiddin bukan hanya sekadar seorang pemimpin malah merupakan simbol kestabilan, ketegasan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Malaysia.
“Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota parti untuk mempertahankan kepimpinan beliau demi memastikan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional terus kukuh.
“Kami di Bersatu Negeri Sembilan akan terus komited memacu perubahan, membina kekuatan dan menjulang harapan rakyat,” jelasnya.
Katanya lagi, penyusunan semula dan pengukuhan jentera parti di peringkat akar umbi dijangka memberi impak besar dalam usaha Bersatu untuk memastikan kemenangan pada PRU-16 nanti. – MalaysiaGazette
















