KUALA LUMPUR – Padah mencabul seorang wanita di pasar pagi Pandamaran di Klang, Selangor, seorang lelaki diberkas polis pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi apabila mangsa dicabul lelaki tidak dikenali.
“Mangsa warga tempatan mendakwa bahagian punggungnya telah disentuh sebanyak dua kali sebelum dia mendapatkan bantuan dari anggota polis yang membuat rondaan pencegahan jenayah di lokasi kejadian.
“Susulan atas maklumat itu, anggota polis bertugas bertindak menahan suspek berusia 36 tahun tidak lama kemudian dan dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan berhubung kes itu telah lengkap dan suspek warga tempatan sudah dituduh di Mahkamah Majistret Klang.
Katanya, mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100 terhadap suspek di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri semasa berada di tempat awam.
“Sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya, sila salurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















