KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengambil pendekatan proaktif dengan menggabungkan diplomasi dan strategi ekonomi jangka panjang susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus terhadap negara ini.
Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, walaupun Presiden AS, Donald Trump menegaskan keputusan itu sudah muktamad dan akan bermula 1 Ogos ini, namun rundingan dengan negara berkenaan masih boleh diteruskan untuk mengurangkan kesan negatif.
Apatah lagi, jelasnya, Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) juga menegaskan komitmen Malaysia untuk meneruskan perbincangan dengan AS bagi mencapai persetujuan yang adil dan saling menguntungkan.
“Namun, kerajaan juga perlu bersedia dengan pelan alternatif, termasuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan blok ekonomi lain seperti RCEP dan BRICS, tanpa mengumumkan langkah secara terbuka untuk mengelak provokasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas kesan langsung kepada ekonomi negara susulan keputusan terbaharu Trump itu, Razli berkata, impak segera yang boleh dijangka adalah penurunan daya saing eksport Malaysia ke AS, terutama dalam sektor elektronik yang mana kira-kira 50 eksport negara adalah ke negara berkenaan selain sektor minyak sawit dan getah.
Selain itu, ujarnya, sektor perkilangan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menghadapi tekanan kos yang tinggi, sekali gus berisiko mengurangkan pelaburan dan peluang pekerjaan.
“Difahamkan, kerajaan telah melancarkan dana bantuan RM1.5 bilion untuk PKS dan mempercepatkan Pelan Industri 2030 (NIMP 2030) sebagai langkah mitigasi dan inisiatif ini sekurang-kurangnya mampu mendepani cabaran susulan tarif terbaharu AS itu,” katanya.
Berhubung kesan terhadap orang ramai pula, beliau menambah, rakyat kebanyakan akan merasai kesan melalui kenaikan harga barang import dan kos sara hidup, terutama jika berlaku tindak balas seperti kenaikan cukai tempatan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, melabur dalam kemahiran digital atau hijau untuk meningkatkan daya tahan pekerjaan dan memanfaatkan insentif kerajaan seperti program latihan semula (upskilling) di bawah NETR.
Namun, jelasnya, kesan paling besar sebenarnya bakal dirasai industri AS sendiri yang akan dibebankan dengan kenaikan harga barangan yang diimport dari Malaysia seperti sarung tangan perubatan dan komponen elektronik, sekali gus berkemungkinan besar menyebabkan berlakunya inflasi.
“Industri AS yang bergantung pada rantaian bekalan Malaysia juga mungkin menghadapi gangguan, seperti yang berlaku semasa perang dagang AS-China,” katanya.
Sebagai langkah ekonomi jangka panjang, tambah Razli, Malaysia perlu mempelbagaikan ekonomi dengan memperkukuh sektor seperti teknologi hijau, pelancongan, dan perkhidmatan digital.
Katanya, langkah itu harus dilaksanakan secara senyap tanpa mengumumkan “perang dagang” untuk mengelakkan tindakan balas daripada AS.
Tegas beliau, ketidakadilan sekiranya negara jiran seperti Vietnam atau China yang dikenakan kadar berbeza perlu dibangkitkan dalam perundingan dengan AS, tetapi secara diplomatik.
“Malaysia juga boleh memanfaatkan keahlian dalam BRICS untuk mengurangkan pergantungan kepada AS, sambil mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa ekonomi,” katanya.
Tambahnya, Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan dasar ekonomi oleh AS itu perlu berdiplomasi, tetapi dalam masa sama bersedia untuk senario terburuk melalui diversifikasi ekonomi dan kerjasama serantau yang strategik.
“Yang paling penting adalah, rakyat dan kerajaan harus bekerjasama menghadapi cabaran ini dengan transformasi ekonomi yang inklusif dan Lestari,” katanya. – MalaysiaGazette
















