KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berjaya menyelesaikan isu teknikal berkaitan paparan graf penggunaan kWh bulan Julai di aplikasi myTNB.
Syarikat utiliti nasional itu menambah, paparan graf penggunaan harian dan bulanan kini kembali berfungsi sepenuhnya.
“Kami akan terus memantau prestasi sistem bagi memastikan pengalaman pengguna yang lancar. Kami ingin sekali lagi memberi jaminan bahawa isu ini tidak menjejaskan bacaan meter sebenar atau bil muktamad pelanggan bagi bulan Julai.
“TNB memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul dan menghargai kesabaran semua pelanggan sepanjang proses penambahbaikan ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui Private Message (PM) di Facebook TNB Careline; Direct Message (DM) ke X Tenaga_Nasional; emel kepada tnbcarelinetnb.com.my atau hubungi 1300-88-5454.
Semalam, ramai pengguna TNB terkejut apabila melihat paparan graf pada bil bulan Julai menunjukkan lonjakan melampau sehingga jauh lebih tinggi berbanding penggunaan biasa.
Bagaimanapun TNB menjelaskan, situasi itu berlaku kerana terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf tidak tepat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















