Konvoi yang membawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara hadir ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Titah adendum yang menjadi perkara yang dipertikaikan dalam semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak diakui kewujudannya oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), demikian Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya bersetuju titah itu wujud namun mempertikaikan cara atau pendekatan bukti baharu itu dikemukakan di mahkamah.

“Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya sebagai bukti tambahan (pada perbicaraan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi), perlu dipatuhi.

“Oleh yang demikian, kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” ujar beliau ketika menjelaskan pendirian AGC berkaitan kewujudan titah berkenaan.

Sebelum itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim meminta kepastian mengenai pendirian AGC oleh kerana agensi itu tidak mempertikai kewujudan titah tersebut.

Menurut Hakim Hasnah, berdasarkan berpendirian sedemikian, panel tersebut tidak perlu menjawab persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk memasukkan titah itu sebagai bukti tambahan dalam pendengaran semakan kehakiman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian berkata, panel itu selesai mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan akan memaklumkan keputusan pada satu tarikh lain.

Mahkamah mendengar rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu panel itu mendengar penghujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang antara lain mengemukakan isu `kewajipan jujur’ AGC untuk mendedahkan titah berkenaan pada peringkat awal.

Pada 2 Julai lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar selesai berhujah dengan mengemukakan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.

Dalam hujahannya, beliau antara lain menyatakan bekas Perdana Menteri dan anaknya Datuk Mohamad Nizar gagal mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau berhujah, Mohd. Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berhujah, Peguam Negara terdahulu mempunyai segala peluang untuk mengesahkan titah adendum yang dikeluarkan terhadap Najib kerana dokumen itu diserahkan terus kepada AGC.

Menurut beliau, titah berkenaan dialamatkan sendiri kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membuktikan agensi itu mempunyai pengetahuan mengenai kewujudannya.

Peguam Negara turut merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 April lalu yang membenarkan Najib mengemukakan keterangan baharu atau tambahan bertarikh 3 Disember tahun lalu.

Keterangan baharu itu membabitkan afidavit anak Najib yang memasukkan sesalinan titah adendum yang diterimanya dari Pejabat Sultan Pahang, namun pada asalnya dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast