PUTRAJAYA – Peguam Negara sepatutnya segera berterus-terang dari awal bahawa titah adendum wujud.
Itu hujah pasukan peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding Mahkamah Tinggi sebaliknya bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Duty of candour merujuk kepada kewajipan bersikap jujur dan terbuka dalam semakan kehakiman untuk memberikan maklumat yang benar dan lengkap termasuk berkaitan dokumen kepada mahkamah berhubung fakta yang relevan dengan isu yang dipertikaikan.

Hujah Muhammad Shafee, jika titah adendum dilaksanakan, bekas Perdana Menteri sudah menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah selama setahun setengah.
Katanya, pihak peguam terpaksa menulis lapan surat bagi menuntut jawapan berhubung kewujudan titah berkenaan, namun sebaliknya Peguam Negara `buat tak endah’ sehingga mereka tiada pilihan selain mengemukakan semakan kehakiman.
Muhammad Shafee turut mengibaratkan pasukan peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri seperti `sudah jatuh ditimpa tangga’.
“Peguam Negara sepatutnya tidak membantah di peringkat kebenaran semakan kehakiman, kami cuma memohon ia (titah adendum) didedahkan namun perkara itu tidak dilakukan. Kami sudah seperti `jatuh ditimpa tangga’.
“Kami hanya mengetahui titah itu wujud selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak kebenaran semakan kehakiman,” hujahnya lagi.

Muhammad Shafee selanjutnya menghujahkan, ketika pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman, mereka tidak mengetahui kandungan titah berkenaan.
Hujah beliau, hanya selepas memfailkannya, baru pasukan peguam mengetahui Peguam Negara terlebih dahulu mempunyai pengetahuan tentang kewujudannya.
“Malah Peguam Negara merupakan pihak yang paling penting kerana beliau diarahkan melaksanakan titah berkenaan. Sebab itu beliau dinamakan sebagai defendan ketiga dalam semakan kehakiman,” ujar Muhammad Shafee.
Beliau selanjutnya berhujah, `kewajipan jujur’ dalam semakan kehakiman tidak memerlukan Najib selaku reponden mendapatkan salinan perintah tambahan itu.
Hujah beliau, ia merupakan peranan Peguam Negara untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan titah berkenaan di peringkat kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi namun ia tidak dilakukan.
Kata Muhammad Shafee, pihak responden sebaliknya secara konsisten menyatakan, permohonan semakan kehakiman Najib hanya semata-mata bersifat spekulasi bertujuan `memancing maklumat’ berhubung kewujudan titah adendum.
“Responden (AGC) menyatakan ia `dengar cakap’ dan spekulatif walhal mereka sepatutnya melaksanakan duty of candour kerana dokumen itu berada dalam tangan mereka. Namun kami yang terpaksa mendedahkan semua, ini satu tragedi,” ujar beliau.
Mahkamah selesai mendengar penghujahan Muhammad Shafee dalam rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Pada 2 Julai lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar selesai berhujah dengan mengemukakan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – MalaysiaGazette















