KUALA LUMPUR – Satu akaun video palsu di Facebook telah dikesan yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) memaparkan wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) dalam kenyataan berkata, video itu disebarkan menerusi Facebook dengan memaparkan suara bagninda kononnya berkaitan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan kepada orang ramai.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun palsu ini yang sering digunakan oleh “scammers” atau sindiket penipuan di Facebook serta platform media sosial lain.
“RPO juga menegaskan penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
















