Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov hadir ke Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Amerika Syarikat ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Rusia mengemukakan cadangan untuk merangka sebuah dokumen baharu sebagai pelan hala tuju memperkukuh hubungan strategik bersama ASEAN khususnya dalam bidang sains dan teknologi tinggi menjelang 2026 hingga 2030.

Cadangan itu diumumkan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dalam Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia sempena AMM ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

“Ini merangkumi sektor berasaskan sains dan teknologi tinggi yang sangat penting untuk memperkukuh ketahanan serantau dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kerjasama sedia ada menunjukkan momentum positif, termasuk dalam bidang ekonomi, tenaga, pertanian dan hubungan kemanusiaan,” katanya.

Tambah beliau, Rusia mencadangkan supaya Program ASEAN–Rusia 2026–2030 digubal secara menyeluruh bagi memperluas agenda sektoral dan memperkenalkan mekanisme baharu yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.

Cadangan itu hadir menjelang ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik ASEAN-Rusia yang akan diraikan tahun hadapan.

Sejak Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia pertama diadakan di Kuala Lumpur dua dekad lalu, hubungan kedua-dua pihak telah berkembang pesat dan diiktiraf secara rasmi sebagai perkongsian strategik pada tahun 2018.

Rusia kini dilihat berusaha memperkukuh kembali kehadirannya di Asia Tenggara menerusi kerjasama berimpak tinggi, pada ketika dunia sedang menyaksikan perubahan dinamik geopolitik dan persaingan teknologi global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast