MELAKA – UMNO memberi jaminan tidak akan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong kepada DAP walaupun meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun depan.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia tidak mungkin berlaku berdasarkan formula kerusi yang dimenangi UMNO akan terus ditandingi parti itu.
“DAP nak DUN Duyong? DAP komponen kita (BN) ke? Apa kena mengena DAP dan Duyong? Mana you dapat berita ini? Tak ada kemungkinan pun.
“Jadi jangan risaulah Helmy (ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem)…tak tahulah sebab saya bukan pengarah pilihan raya tapi selagi hidup, saya tak akan serahkan,” katanya disusuli tepukan gemuruh perwakilan yang hadir.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas di sini semalam.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Senator Datuk Mustafa Musa.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika menjawab pertanyaan perwakilan, Ketua Pemuda Kampung Morten, Ahmad Safwan Salim yang meminta beliau menjelaskan desas-desus itu daripada Pemuda DAP (DAPSY) Kota Melaka.

“Kalau pun masih lagi dikekalkan semangat Kerajaan Perpaduan mengharungi pilihan raya, kita punya pembahagian kerusi yang menang tetap diberi kepada kita kerana itulah formulanya.
“Syukur Alhamdulillah ada ‘raja TikTok’ di Melaka bak kata ketua bahagian tadi (Abd Razak) dia bukan sekadar Helmy tapi UMNO Malaysia dan kalau ramai anak muda begini orang akan kata inilah parti yang patut disokong,” tegasnya lagi.
Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 dimenangi BN, lima PH dan dua Perikatan Nasional (PN). Untuk rekod, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan.
DUN Duyong menjadi kubu kuat BN melalui MCA sejak 1995 sehingga 2013 sebelum berpindah ke tangan DAP yang merampas kerusi itu sehingga 2021.
Penyandangnya, Damian Yeo Shen Li tewas kepada Mohd Noor Helmy pada PRN Melaka 2021 sekali gus menyaksikan kejayaan kali pertama UMNO merampas semula kerusi itu. – MalaysiaGazette
















