Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat berhubung kandungan dokumen Minit Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kali ke-5 tahun 2025 yang tular di media social.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kandungan dalam dokumen berkenaan amat membimbangkan dan membawa implikasi besar terhadap integriti institusi kehakiman serta kedudukan perdana menteri sendiri.

“Sekiranya dakwaan ini benar dan tidak dapat disangkal dengan fakta yang tuntas, maka perdana menteri wajar meletakkan jawatan serta-merta. Kedudukan beliau tidak lagi selari dengan prinsip integriti, amanah dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas sistem pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Fadhil menegaskan, amaran turut diberikan kepada seluruh warga institusi kehakiman khususnya para hakim utama agar tidak bersekongkol dengan sebarang usaha untuk merosakkan sistem keadilan.

Jelasnya, keadilan apabila ditegakkan kelak, tidak akan mengenal darjat atau kedudukan sesiapa.

Oleh itu, mana-mana pihak yang terlibat dalam cubaan mencemar institusi kehakiman akan tetap diadili. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast