JOHOR BAHRU – Satu sindiket peras ugut seksual dan pemerasan dalam talian tumpas selepas sembilan ahlinya ditahan serta tiga mangsa termasuk dua remaja diselamatkan dalam Op Bugil dari 20 Jun hingga 1 Julai lalu.
Kejayaan itu hasil serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerusi serbuan di daerah ini dan Kulai.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan di sebuah rumah sewa itu menahan sembilan suspek terdiri tujuh lelaki tempatan dan dua wanita berusia antara 17 hingga 50 tahun termasuk dalang sindiket berkenaan.
“Dalam operasi ini kita berjaya menyelamatkan mangsa iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun selain dua remaja lelaki dan wanita berusia 15 dan 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa dan penderaan seksual.
“Polis turut merampas 27 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dokumen diri, tiket kapal terbang, resit tukaran duit, wang tunai campur-campur, komputer riba, 49 sim kad, buku pekerjaan, alat kawalan jauh dan kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu yang mempunyai rangkaian di Laos dan Thailand mula bergiat aktif sejak November 2024 dan modus operandi sindiket tersebut adalah dengan mencipta satu akaun media sosial palsu dengan menyamar sebagai wanita cantik.
Wanita berkenaan, katanya, akan memujuk mangsa untuk melakukan panggilan video lucah dan pada masa sama akan menghantar pautan pishing bertujuan menggodam data dalam telefon bimbit mangsa.
Kumar berkata, sindiket akan menggunakan rakaman video lucah mangsa dan mengugutnya dengan permintaan wang secara berperingkat.
Mangsa yang mengalami ketakutan dan tekanan emosi katanya, akan membuat pemindahan wang antara RM500 hingga RM10,000 dalam akaun sindiket seperti yang diarahkan.
“Sindiket turut merekrut pekerjaan tempatan termasuk bawah umur untuk bekerja sebagai scammer dengan tawaran gaji RM2,200 hingga RM4,000 sebulan. Apabila sudah mahir mereka ditawarkan berkerja ke luar negara dengan gaji 2,500 dolar Amerika Syarikat.
“Mangsa direkrut bagi tujuan penipuan seks secara dalam talian. Dua remaja yang menjadi mangsa itu didera, dipukul, dibogelkan dan dipaksa makan cili serta penderaan seksual dan semua tindakan dirakam bagi tujuan ugutan,” ujar beliau.
Menurut Kumar, mangsa diugut dengan bayaran RM30,000 jika mahu berhenti kerja dan kedua-dua mangsa remaja yang sudah tidak bersekolah itu dirancang untuk dihantar ke Van Pak Len, Laos.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 5, 10 dan 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Suspek turut didakwa bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Peraturan 25(1)(0) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966.- MalaysiaGazette
















