Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PRK) khususnya di dalam kem `Hiruk’ dan `Damai’ perlu menghentikan perselisihan faham di laman sosial kerana ia memberi imej dan persepsi buruk dalam kalangan rakyat terhadap parti itu.

Ketua Penerangan PKR Cabang Bera, Norman Daud berkata, rakyat sedang memerhati percakaran yang berlaku dalam PKR dengan perasaan muak, bosan dan kecewa.

Ini kerana, menurut beliau, rakyat sebelum ini memilih PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kerajaan dengan harapan suhu politik negara akan stabil.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang? Selepas mendapat kuasa, PKR bercakaran, bermusuhan sesama sendiri sedangkan kita adalah parti tunggak kerajaan.

“Adakah kita tidak berasa malu terhadap pengundi terutamanya di atas pagar yang sedang memerhati?” soalnya hari ini.

Suhu politik dalaman PKR ketika ini dilihat semakin panas susulan pergeseran terbuka antara pemimpinnya terutama selepas pemilihan parti itu pada Mei lalu melibatkan kem Hiruk yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli dan kem Damai yang dipimpin Nurul Izzah Anwar yang kini Timbalan Presiden PKR.

Situasi tidak harmoni itu diperkuatkan lagi dengan tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR diketuai Rafizi mengadakan sidang akhbar berhubung krisis institusi kehakiman yang secara tidak langsung memberi imej buruk kepada pentadbiran kerajaan yang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahi.

Sementara itu, Norman menambah, ketika parti lain khususnya pembangkang sedang tenang menyusun strategi menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang, PKR bagaimanapun masih terperangkap dengan drama politik dalaman yang tidak membawa manfaat kepada parti.

“Kalau kita sendiri tak boleh bersatu, macam mana rakyat nak yakin yang kita mampu pimpin negara?

“Jangan ingat orang tak nampak. Setiap status pedas, setiap sindiran terbuka, setiap perbalahan kecil, semuanya jadi bahan tontonan dan bisik-bisik rakyat. Kita ingat kita tengah ‘menang’ dalam hujah tapi hakikatnya kita semua kalah dalam persepsi,” katanya.

Sementara itu, Norman turut mengingatkan musuh utama kepada PKR bukan dalam kalangan sesama sendiri sebaliknya kemiskinan, rasuah, kebencian, politik sempit dan kekuatan lawan yang sedang bertepuk tangan melihat PKR berantakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin PKR kembali ke asas perjuangan iaitu membela rakyat, memperkukuh reformasi dan memastikan mandat yang diberikan pada PRU lalu tidak disia-siakan dengan politik dalaman yang memualkan.

“Cukuplah berpolitik untuk kepentingan peribadi. Ayuh kita berpolitik untuk negara. Bersatulah. Buktikan kepada rakyat bahawa KEADILAN bukan parti penuh drama, tapi parti yang matang dan bersedia memimpin masa depan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast